SAYANG…BAHAGIAKAH KITA?
Sepasang suami isteri sedang menaiki
basikal pada suatu petang. Suami di hadapan, manakala isterinya
membonceng di belakang. Mereka melalui jalan berhadapan sebuah vila.
Kebetulan di halaman vila tersebut sedang duduk pemilik dan isterinya
sambil santai-santai minum petang.
Tiba-tiba pandangan kedua-dua pasangan
suami isteri itu bertembung. Pasangan suami isteri yang sedang bersantai
di halaman vila merenung pasangan suami isteri yang sedang berbasikal
melalui hadapan vilanya.
Walaupun hanya seketika berpandangan tetapi hati mereka sempat berbicara…
“Alangkah bahagianya mereka,” bicara hati
suami yang sedang menunggang basikal. “Rumah besar, duduk bersantai
pula dengan menikmati makanan yang enak-enak. Isterinya cantik, kereta
besar…”
Apa pula bicara hati suami yang sedang duduk bersantai di halaman vilanya?
“Oh, romantik sungguh kedua-dua suami
isteri itu. Isterinya memeluk erat di belakang. Alangkah bertuahnya
mendapat seorang isteri yang disayangi. Tidak seperti aku, sekalipun
mempunyai harta yang melimpah ruah tetapi aku tidak bahagia seperti
mereka…” begitulah bisik hati si suami kaya itu.
Justeru, siapakah antara kedua-dua mereka
yang bahagia apabila masing-masing merasakan orang lain yang lebih
bahagia? Apa ukuran sebuah rumah tangga yang bahagia? Mempunyai segala
kekayaan dan kemewahan hidup? Rumah besar, perabot mahal dan kereta
berjenama, itukah petanda rumah tangga yang bahagia?
Jika itulah petanda bahagia, tentu sahaja
rumah tangga Rasulullah dan isteri-isterinya tidak bahagia. Betapa
sejarah telah menukilkan sering kali dapur rumah Rasulullah tidak
berasap kerana tidak ada makanan untuk dimasak. Alas tempat tidur
Rasulullah sangat kasar sehingga berbekas di belakang Baginda apabila
tidur di atasnya. Namun, rumah tangga Rasulullah s.a.w. itulah yang
paling bahagia dan hingga kini menjadi contoh teladan untuk kita ikuti.
Apa sebenarnya bahagia itu? Hakikatnya
ramai manusia masih tertanya-tanya dan teraba-raba tentangnya. Yang
miskin berasa bahagia itu pada kekayaan. Namun apabila dia mencapai
kekayaan, ada yang lain pula disangkanya bahagia, lalu itulah pula yang
diburunya untuk mendapat bahagia.
Bagi orang yang sakit, sihat itu bahagia.
Sebaliknya pada yang sihat, itu bukan bahagia. Buktinya betapa ramai
orang yang sihat tubuh badan tetapi muram jiwanya.
Bagi orang biasa, ternama dan termasyhur
itu bahagia. Anehnya ramai pula orang ternama yang menyamar dan ingin
lari daripada paparazi kerana benci akan publisiti.
Bahagia Itu dari Hati yang Tenang
Jadi apa bahagia sebenarnya? Bahagia itu
bukan dari luar ke dalam, sebaliknya dari dalam ke luar. Maksudnya,
harta, nama dan lain-lain perkara berbentuk kebendaan dan luaran bukan
penyumbang kepada kebahagiaan seorang manusia. Bahagia itu datang dari
dalam diri dan sesuatu yang maknawi sifatnya.
Untuk menangani sesuatu yang berasal atau
berpunca dari dalam diri, manusia tidak boleh bergantung kepada dirinya
semata-mata. Manusia harus bergantung kepada Allah, Penciptanya Yang
Maha Mengetahui. Soal dalaman ialah soal hati atau roh. Itu sangat
sedikit diketahui oleh manusia. Untuk mengetahui rahsia bahagia, manusia
perlu kembali kepada Penciptanya (Allah).
Bahagia itu datang dari hati yang tenang.
Hati yang tenang terhasil daripada sering mengingati Allah. Dalam
al-Quran Allah mengingatkan hanya dengan mengingati-Nya hati akan
menjadi tenang. Firman Allah yang bermaksud: “Ketahuilah dengan
mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d 13: 28)
Dengan berzikir hati menjadi tenang dan
dengan ketenangan hati itulah terciptanya kebahagiaan pada diri
seseorang. Itulah resipi kebahagiaan dari segi ilmiahnya. Namun
bagaimana pelaksanaannya?
Saya pernah mendengar kisah benar
yang diceritakan oleh seorang bekas mufti tentang pengaduan seorang suri
rumah tentang kebengisan suaminya. Bayangkan, suaminya “kaki masjid”,
kuat berzikir dan memakai serban serta jubah. Namun anehnya, suami itu
sangat garang dan ganas. Pantang salah sedikit, isterinya akan diherdik,
ditampar malah ditendangnya. Lalu kita tertanya-tanya, mengapa suami
yang kuat berzikir itu jadi begitu? Mengapa zikir yang ditegaskan
sebagai sumber ketenangan itu gagal memberikan ketenangan kepada suami
yang pemarah itu?
Lalu kita bertanya, bagaimana faktor
zikrullah (mengingati Allah) ini dapat dipraktikkan dalam rumah tangga
agar rumah tangga itu benar-benar mendapat ketenangan dan seterusnya
kebahagiaan? Apakah suami, isteri dan seluruh anggota keluarga perlu
berzikir sahaja sepanjang masa? Atau mengapa setelah zikir dipraktikkan,
rumah tangga masih tidak tenang-tenang juga? Di mana salahnya?
Ada sepasang suami isteri yang
menghadapi masalah dalam rumah tangga. Isteri keletihan menguruskan
anak-anak yang masih kecil manakala suaminya pula keletihan bekerja
untuk menyara ekonomi keluarga. Mereka sama-sama letih. Setelah
mendengar cerita bagaimana Siti Fatimah dan Sayidina Ali mendapat
kekuatan daripada berzikir dengan kalimah Subhanallah, Alhamdulillah dan
Allahuakbar, mereka pun terus mengamalkannya. Sayangnya, mereka tidak
mendapat ketenangan seperti yang dialami oleh Siti Fatimah dan Sayidina
Ali.
Zikir sudah sama tetapi kenapa kesan pada hati berbeza? Sekali lagi, di mana salahnya?
Zikir itu bukanlah sekadar
menyebut-nyebut kalimah zikir tetapi yang lebih penting menghayatinya
dengan hati dan mempraktikkannya dengan perbuatan. Oleh sebab itu, zikir
itu terbahagi kepada tiga dimensi – lidah (qauli), hati (qalbi) dan perbuatan (fi’li). Inilah yang hendak dipraktikkan oleh suami isteri agar rumah tangga bahagia.
Zikir pada lidah, ramai yang sudah tahu.
Yakni lidah menyebut-nyebut kalimah zikir sama ada semasa solat, selepas
solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Dalam sebuah rumah tangga,
perlu ada program zikir secara rasmi dan tidak rasmi agar seluruh
anggota keluarga berzikir sama ada secara berjemaah ataupun individu.
Seelok-eloknya setiap keluarga ada amalan-amalan zikir yang khusus dan
diamalkan secara istiqamah. Pilih sahaja sama ada al-Ma’thurat, Manzil
atau zikir-zikir warisan keluarga yang berasal daripada tarekat-tarekat
yang muktabar. Atau ambil sahaja daripada zikir-zikir yang telah
terbukti autentik daripada petikan ayat al-Quran dan hadis-hadis yang
sahih.
Tidak cukup sekadar “membaca” atau
“menyebut” kalimah zikir, tetapi paling utama mesti dihayati maknanya.
Jika Subhanallah, ertinya Maha Suci Allah. Apa maksud Maha Suci Allah
itu? Allah suci daripada segala kekurangan, kelemahan dan lain-lain
sifat negatif sama ada dari segi zat, sifat, perbuatan dan
nama-nama-Nya. Allah itu juga suci daripada segala sifat buruk, hodoh
dan seumpamanya. Berlawanan dengan makhluk-Nya yang serba-serbi lemah,
kurang dan hina.
Untuk menghayati zikir Subhanallah,
seseorang mesti memahami makna dan pengertiannya. Untuk mengetahui dan
memahami, seseorang mesti belajar. Setelah itu barulah erti Subhanallah
itu dibawa dalam kehidupan dalam bentuk penghayatan apabila bertemu
dengan pelbagai insiden dalam rumah tangga. Katakan “Subhanallah”
apabila Allah disifatkan dengan sesuatu yang negatif atau apabila
berlaku sesuatu yang di luar dugaan sama ada buruk atau baik, suka atau
duka, untung atau rugi dalam rumah tangga kita.
Tidak cukup dihayati sahaja, tetapi
praktik “Subhanallah” itu hendaklah diterjemahkan dalam bentuk
perbuatan. Segala tindakan sama ada oleh suami atau isteri mestilah
mencerminkan mereka benar-benar menyucikan Allah. Orang yang benar-benar
menyucikan Allah tidak akan marah-marah, mengherdik apalagi memukul
pasangannya. Adakah mereka berani berbuat demikian jika mereka merasakan
yang suci, yang hebat dan kuat hanya Allah? Orang yang marah-marah,
bengis dan mudah naik angin boleh dianggap tidak menyucikan Allah dalam
kehidupannya sebaliknya dia “menyucikan” dirinya sendiri.
Ya, kebahagiaan itu datang daripada
ketenangan. Ketenangan itu pula datang daripada zikir. Namun bukan semua
zikir menghasilkan ketenangan. Zikir yang menghasilkan ketenangan
hanyalah zikir yang diamalkan secara bersepadu antara lidah, hati dan
anggota. Hanya zikir yang bersepadu itu yang memberi ketenangan pada
hati untuk menghadapi pelbagai pancaroba dalam hidup.
Hati yang tenang akan bersyukur apabila
menerima nikmat, sabar apabila ditimpa musibah, rela memberi maaf
apabila dipinta, mudah meminta maaf apabila bersalah, qanaah dengan
rezeki yang ada, tawakal apabila berusaha dan sentiasa bersangka baik
dengan Allah dan manusia.
Mengapa dengan berzikir hati akan memiliki sifat-sifat baik ini?
(Insya Allah, kita sambung nanti)
Sebelum ini ikutilah dialog ini:
retak-retak pada pelipis matanya. Pipinya, walaupun masih merah seperti
dulu, tapi sudah ada
riak-riak kedutan yang mula bertamu.
”Bang, bahagiakah kita?”
Masih terngiang-ngiang pertanyaannya lewat bual kami menjelang tidur.
”Bahagia itu di mana?” tanya saya semula.
Dia diam. Matanya redup bagai kerlipan lampu kamar tidur kami.
“Terlalu banyak yang kita telah lalui bersama. Tak sedar dah lebih 20 tahun kita bersama,” kata saya.
Pertanyaannya terus ternganga. Saya pasti dia tidak memerlukan jawapan. Kekadang, soalan dan luahan… sukar dibezakan.
Dalam suram wajahnya saya
renung. Mata kami bertembung. Tidak ada bicara, namun rasa dalam
rentetan pelbagai peristiwa begitu laju menerpa. Satu demi satu. Masih
harum rasanya kenangan malam itu. Waktu kali pertama tangan kami
bersatu. Jari-jarinya berinai merah. Seri wajahnya seakan purnama
menghiasi kamar pengantin. Tapi sekarang… jari-jari itu tidak sehalus
dan semulus dulu. Telah banyak diguris kesusahan, sudah sering diguris
keperitan. Pun seri wajahnya, retak juga dipagut usia.
Masih saya ingat kata-kata malam pertama kami…
”Apa perasaan mu?”
Dia senyum.
”Saya bahagia.”
”Hari ni boleh jadi bahagia…
tapi insya-Allah kita masih ada ribuan hari lagi yang akan dilalui
bersama. Berdoalah, seperti mana muqaddimahnya, begitulah nanti
natijahnya….” kata saya seakan berbisik. Senyum kami menguntum. Oh,
alangkah indahnya ketenangan yang dia berikan. Tetapi akhirnya ’mentari’
kehidupan pun menyala petanda ’bulan’ bermadu telah berakhir. Hidup
tidak selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.
Dan hari demi hari terus
berlalu. Musim pantas mencantas waktu bagai embun dijilat surya. Putera
dan puteri kami menyusul seorang demi seorang. Tribulasi datang dan
pergi. Berpindah dari satu daerah ke satu daerah. Roda kehidupan
berputar laju. Kekadang di atas, sering juga di bawah. Ada ketikanya,
senyum, suka dan ceria. Acapkali juga ada muram, duka dan air mata.
Anehnya, dia terus bersama saya. Kadang tegurannya tajam, menikam… saya
pedih. Namun, jauh di sudut hati, terbujuk juga – itu kerana sayang.
Pernah juga belaian dan manjanya melekakan… mujur hati sering diingatkan
– dia adalah ’hadiah’ Tuhan untuk saya. Masakan hadiah lebih besar
daripada Pemberinya?
Kekadang kolek rumah-tangga gegar dipukul gelombang. Untunglah, kesabaran masih mampu bertahan… pelayaranpun diteruskan.
”Bahagiakah kita?”
Soalan itu kembali mengusik rasa.
”Di mana bahagia itu?”
”Di hujung atau di pangkalnya?”
Lalu saya temukan jawapannya…
”Bahagia itu bukan di pangkal jalan, bukan juga di hujung jalan… tetapi ia ada di sepanjang jalan.”
”Bahagia itu apa?”
Sekali lagi saya terhenyak ke penjuru jiwa. Mencari kata untuk menggambarkan rasa. Mampukah?
”Bahagia itu ketenangan!” kata ulama yang arif tentang wahyu dan sabda.
”Ketenangan itu apa?”
”Hati yang tenteram dalam
semua keadaan dan suasana. Susah mahupun senang, miskin ataupun kaya,
sihat mahupun sakit, pujian dan kejian… sama sahaja.”
”Bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?”
”Ingat Allah… hati akan menjadi tenang.”
Bertalu-talu monolog diri itu
menerjah kamar hati. Apa yang diketahui, apa yang dirasa, apa yang
dilihat, apa yang dibaca sekian lama… terburai semuanya di malam ini –
ditusuk sebuah pertanyaan: ’Bang, bahagiakah kita?”
”Tanpa Tuhan, tiada ketenangan. Tanpa ketenangan, tiada kebahagiaan.”
”Isteriku, kebahagiaan itu
terlalu maknawi. Tapi ketenangan itu dapat dirasai. Jika kau tanyakan,
bahagiakah kita? Ertinya, kau tanyakan tentang ketenangan kita. Dan jika
kau tanyakan tentang ketenangan kita… kau sebenarnya bertanyakan sejauh
mana kita ingatkan DIA – Tuhan kita!”
”Bang apakah aku telah dapat memberikanmu satu ketenangan?”
”Jangan tanyakan itu, sebaliknya tepuk dada tanya dirimu… apakah aku telah tenang?”
”Kenapa?”
”Hanya orang yang tenang sahaja dapat memberi ketenangan…”
”Ah, semakin sukar pula mencari jawapan… semakin diselam, semakin dalam.”
Malam kian larut di kolam
buana. Mata saya kembali merenung wajah isteri. Dia yang tidak pernah
meninggalkan saya ketika apapun jua. Ketika orang memuji, dia
mengingatkan. Ketika orang mengeji, dia menggiatkan. Bagi saya itulah
ketenangan yang dihadiahkannya… Walaupun mungkin itu hanya serpihan dari
hakikat ketenangan yang hakiki. Namun itupun sudah memadai. Monolog
hati saya terus bergema:
”Isteriku, apakah perjalanan
kita ini masih panjang ataupun pendek… entahlah, aku tidak pasti. Namun,
selagi antara kau dan aku masih ada DIA – Tuhan kita. Selama itulah
kita akan tenang. Jika kau ingat, kaulah sumber ketenanganku. Jika aku
ingat, akulah sumber ketenanganmu. Jika kita sama-sama mengingati-Nya,
maka bahagialah kita. Sebaliknya, jika kita sama-sama lupa… musnahlah
kita.”
Lalu dalam suram kamar yang
sederhana… saya sentuh tangannya. Walaupun tidak halus dan mulus seperti
dulu, tapi sentuhan itu membelai hati saya. Kali ini bukan rasa tahap
rendah yang membara. Tapi rasa tahap tinggi yang menyala-nyala.
Isteriku… kita bahagia!
Perlahan-lahan, saya
bangun, bergerak ke meja tulis. Sebuah sajak yang saya hasilkan sewaktu
berjauhan dahulu saya keluarkan dari lipatan buku catatan peribadi.
Terasa kesal juga tidak kirimkan kepadanya. Akibatnya, sajak ”Jauh itu
dekat” tidak pernah dibacanya. Saya baca kembali baitnya satu persatu:
Kembali kita berjauhan…
salam terpisah, senyum tertahan
rindu berbuah, sayang merendang
jauh-jauh begini…
menguji percintaan
Suaramu telus di langit kelabu
setiamu selimut dingin hujanku
arca bayang-bayang malam
sinar remang-remang siang
melukis setiamu di awan gemawan
Terpisah semakin indah
kian terlarut keruhan rasa
terimbau semula nostalgia lama
jari-jari merahmu…
di malam pertama
Sayang… Jauh itu DEKAT!